Article

Hidup berubah selepas anak disahkan autistik – Part 2

2
Written by makbanyakanak

Grup sokongan

Apabila ditanya bagaimana beliau mengendalikan anak autistik, ternyata tidak semudah seperti yang dibaca.

“Pada mulanya memang sukar. Selain dari panik, runsing, risau, sedih, saya  juga sering menyalahkan diri sendiri. Saya tidak sabar, saya tidak kuat semangat dan saya terlalu fikirkan autism itu adalah satu masalah. Sedangkan ianya tidak.”

Beliau banyak melakukan research tentang autism dan masuk ke grup sokongan autism di media sosial.

“Dengan initiatif sendiri, saya cari grup-grup sokongan anak autism. Dari situ, saya baca segala perkongsian ilmu oleh ibu bapa kepada anak-anak autism. Saya sangat berterima kasih. Dalam masa saya berdukacita, rupanya ada yang lebih teruk dari saya, cepat-cepat saya bangkit semula.”

“Saya tanamkan dalam diri dan fikiran, saya harus positif, saya harus kuat demi anak-anak dan keluarga, dalam masa yang sama saya tawakal.”

“Setiap kali Aisy tantrum, merajuk, buat tidak peduli, terlebih dahulu saya pujuk dia, peluk. Dan selepas itu saya terangkan kepada dia mengapa itu tak boleh dan ini boleh. Sekiranya dia bertanya lagi, saya akan jawab dengan sabar sehingga dia puas hati.”

 

Pengorbanan

“Adakalanya kita stress kerana kita tidak faham mereka. Jiwa mereka memberontak kerana mereka juga tak faham kita dan dunia sekeliling. Mereka ini istimewa. Setiap perkara harus diberitahu dengan teliti. Dan paling penting adalah sabar. Sekiranya kita tidak sabar, tanpa sedar kita akan memarahi mereka dan kita rasa terbeban. Ini akan mengeruhkan lagi keadaaan.”

“Anak-anak autistik ini berjiwa sensitif. Mereka memerlukan layanan first class. Dan 100% perhatian dari ibu bapa. Bayangkan sekiranya saya masih sibuk dengan kerjaya dan lebih mementingkan kerja yang selamanya tidak pernah siap? Apa akan jadi kepada dia? Oleh kerana tidak mahu Aisy rasa terasing dan saya sendiri mahu lebih banyak masa dengan dia, saya dengan rela hati meletakkan jawatan dan kini hanya bekerja sendiri dengan waktu yang lebih anjal.” Jelas beliau lagi. “Tapi tidak semua wajib berhenti kerja. Asalkan boleh bahagi masa dan lebih fokus kepada anak, memadai.”

 

2

“Kini hasilnya, Aisy lebih yakin, berani dan kami saling memahami. Inilah hasil dari kesabaran dan pengorbanan saya. Bayangkan sekiranya saya tidak sabar, marah-marah, terlebih garang dan hanya mahu dia memahami saya tanpa saya fahami dia, bukankah itu lebih teruk? ”

“Ibu bapa anak autistik perlu lebih peka dan kenali anak mereka. Pada mulanya memang sukar. Tapi lama-lama semuanya akan oke. Jangan pedulikan kata-kata negatif masyarakat tentang anak autistik. Kita lebih kenal anak kita berbanding mereka. Kita hanya perlu belajar cara untuk kawal dan atasi.”

 

Harapan

“Harapan saya, semoga masyarakat Malaysia lebih terbuka dengan Autism dan hak-hak anak istimewa ini. Kita jangan mudah melabel dan menjatuh hukum pada anak-anak ‘nakal’ atau ‘slow’.” Pernah tersentap dengan kenyataan sedemikian, Puan Uraidah mahu lebih bersikap terbuka dan positif.

“Jangan sesekali malu sekiranya dikurniakan anak istimewa begini. Anggaplah ini sebagai satu bonus untuk kita sebagai ibu bapa.”

“Saya yakin, diluar sana ramai lagi ibu bapa yang masih keliru dengan anak-anak autistik. Mungkin juga mereka merasakan anak ini tiada masalah cuma sikap mereka berbeza. Jumpalah dengan pakar sebelum terlambat. Cepat kita mula, cepatlah nampak kesannya,” sambung beliau lagi.

“Sekiranya di setiap sekolah dapat sediakan kelas berasingan untuk pelajar autism, adalah lebih bagus. Ini supaya tenaga pengajar dapat fokus kepada pelajar mengikut kes mereka.”

Puan Uraidah mengakhiri perbualan dengan senyuman. Keyakinan beliau terhadap Aisy amat tinggi dan tidak henti berdoa agar dipermudahkan jalan Aisy di masa hadapan.

-Tamat

About the author

makbanyakanak

Mak Banyak Anak was founded by parents who is passionate about making their lifestyle easier with kids. By having 5 kids, all the experiences were shared with other parents out there, to highlight the sweetness of parenthood.

Leave a Comment